Padang Tujuh adalah merupakan Hutan Yang Mempunyai Nilai Pemeliharaan Tinggi (HCVF) yang kedua telah ditubuhkan di Negeri Pahang. HCVF ini telah ditubuhkan pada tahun 2011 dan terletak di Hutan Simpan Endau serta turut berada di dalam kawasan Taman Negeri Endau Rompin. Hutan ini merupakan hutan jenis kerangas dan berada pada ketinggian kurang dari 1000 m. Keistimewaan Padang Tujuh ini adalah kerana keunikan geologinya yang mana tumbuhan-tumbuhan yang terdapat di kawasan ini berdiameter kecil, daun berkulit dan tanah hutan yang nipis dan berasid serta dilapisi batu kapur. Persekitaran kawasan ini berbeza daripada kawasan sekitarnya dan vegetasi pokok yang dijumpai juga sangat unik kerana terdapat tumbuhan seperti pokok bonsai di kawasan ini. Kebiasaannya, vegetasi tumbuhan seperti ini hanya boleh ditemui di kawasan puncak gunung seperti Gunung Tahan. Antara tarikan dan keistimewaan lain adalah terdapatnya kepelbagaian spesies periuk kera dan orkid yang dapat dijumpai di sini.
Selain itu, terdapat juga sebatang sungai yang cantik dengan air yang jernih kerana keseluruhan batu yang berada di kawasan sungai ini diliputi lumut dan kelihatan berwarna hijau. Disepanjang laluan ke Padang Tujuh juga, terdapat populasi pokok palma yang unik iaitu Johannesteysmannia altifrons yang mana saiz daun pokok palma ini mempunyai kelebaran melebihi saiz orang dewasa. Antara lainnya, disepanjang laluan ini juga dapat ditemui pokok palma spesies endemik iaitu Livistonia endauensis dan pertumbuhannya sangat dominan di kawasan ini.
Padang Tujuh ini juga telah dikelaskan di bawah HCVF 3 iaitu merupakan kawasan-kawasan hutan yang berada di dalam atau mengandungi ekosistem yang nadir, terancam atau berkeadaan bahaya dan pemilihan kawasan ini dibuat kerana ia adalah merupakan Hutan Kerangas yang jarang ditemui di Semenanjung Malaysia serta terdapatnya kepelbagaian ekosistem serta landskap yang menarik di kawasan tersebut. Bagi memastikan HCVF ini dapat diuruskan dan dipantau dengan lebih sistematik, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan Rancangan Pengurusan Kawasan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi (HCVF), Padang Tujuh, Rompin Pahang Darul Makmur. Daripada rancangan pengurusan ini, pelbagai strategi telah dirancang bagi memastikan kepelbagaian biologi yang terdapat di kawasan ini dapat diuruskan dengan baik dan terancang
Sumber: http://forestry.pahang.gov.my/images/stories/hcvf/Padang-Tujuh-2013.pdf